Monday 18 July 2011

kebanggaan asia





FRANKFURT, Jerman – Jepun mencipta sejarah.Mereka muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Wanita 2011.
Kejayaan itu satu kebanggaan buat bola sepak Asia yang kini semakin digeruni di peringkat dunia.
Pada final yang berlangsung di Stadium Frankfurt itu, Jepun menghampakan Amerika Syarikat 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.
Rentak kemenangan yang dilakar Jepun itu sungguh menakjubkan.
Skuad kendalian Norio Sasaki itu bangkit selepas dua kali ketinggalan bagi merangkul kejuaraan buat kali pertama pada kejohanan berprestij itu.
Kapten Jepun, Homare Sawa yang turut memenangi anugerah Kasut Emas pada kempen kali ini apabila muncul penjaring terbanyak membuktikan kualiti yang dimilikinya apabila menyamakan kedudukan buat The Blue Samurai untuk mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-117.
“Saya seolah-olah tidak percaya yang kami berjaya muncul juara.
“Kami tidak pernah berputus asa dan terus berjuang sehingga ke minit-minit yang terakhir. Kami telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan hari ini (awal pagi semalam).
“Ini merupakan kejayaan paling bermakna buat diri saya sepanjang lima kali beraksi pada kempen Piala Dunia Wanita dan kali ini saya pulang dengan status sebagai juara,” kata Sawa.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Frankfurt itu, Alex Morgan berjaya membuka tirai jaringan buat AS pada minit ke-69 sebelum Jepun menyamakan kedudukan menerusi Aya Miyama minit ke-80 sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Sebaik aksi masa tambahan bermula, AS kembali berada di depan selepas penyerang sensasi mereka Abby Wambach meledak gol pada minit ke-104 sebelum Sawa menyamakan kedudukan minit ke-117.
Penjaga gol Jepun, Ayumi Kaihori dijulang sebagai wirawati apabila menggagalkan dua sepakan penalti pasukan AS bagi memastikan kemenangan menjadi milik gergasi Asia itu.
“Kami memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan ini dan corak permainan kami juga lebih tersusun. Begitupun kami akui agak gugup kerana ini merupakan final yang pertama buat kami pada Piala Dunia.
“Begitupun, nasib ternyata menyebelahi kami dan kami kini sudah bergelar juara. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong kami,” jelas Sasaki.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Jepun mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan dari Asia yang pertama menjulang trofi Piala Dunia Wanita.
Sementara itu, jurulatih AS, Pia Sundhage mengakui kelalaian anak-anak buahnya sehingga membenarkan Jepun kembali bangkit menyamakan kedudukan ternyata telah mengundang padah kepada mereka.
“Kami telah melakukan beberapa kesilapan. Kami membenarkan Jepun kembali menyamakan kedudukan. Namun saya masih merasakan bahawa kami telah beraksi dengan baik,” kata Sundhage.
– AFP
kosmo!

No comments:

Post a Comment