Thursday, 22 September 2011

baru 14 tahun dah jadi pembunuh upahan




BANDAR RAYA MEXICO - Baru berusia 14 tahun tetapi tangan seorang budak lelaki, Edgar Jimenez telah meragut tujuh nyawa, lapor sebuah akhbar semalam.

Jimenez alias 'El Ponchis' yang bermaksud 'pembunuh bertopeng' dipercayai merupakan pembunuh upahan kartel dadah Morelos yang bergiat aktif di sini dan lokasi sekitarnya.

Budak lelaki tersebut yang memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) ditangkap tentera Mexico kelmarin ketika dia cuba melarikan diri ke AS dengan menaiki pesawat di bandar Cuernavaca, kira-kira 85 kilometer ke selatan bandar raya ini.

Pihak tentera berkata, dia ditangkap bersama dua saudara perempuannya ketika dalam perjalanan untuk menuju ke rumah ibu mereka di San Diego, AS.

Kakaknya yang berusia 16 tahun dan turut ditahan merupakan kekasih ketua kartel dadah berkenaan, Hector Beltran Leyva yang masih diburu tentera Mexico.

Ketika dalam tahanan pihak berkuasa, Jimenez mengakui terbabit dalam sekurang-kurangnya tujuh pembunuhan atas arahan Leyva.

"Saya dipaksa melakukan pembunuhan-pembunuhan itu dan diberi dadah setiap kali sebelum melakukannya. Saya diancam dibunuh jika enggan menurut arahannya," kata Jimenez kepada pemberita di pejabat pendakwa raya di sini kelmarin.

Namun, pada bulan lalu, akhbar La Razon di Mexico melaporkan bahawa El Ponchis dibayar AS$3,000 (RM9,423) bagi setiap pembunuhan yang dilakukannya. - Agensi

No comments:

Post a Comment