Thursday, 4 August 2011

kediaman termahal dunia

MENARA Antilia berdiri megah sebagai kediaman paling mewah di dunia tetapi ramai yang beranggapan ia tidak mewakili keadaan sosioekonomi India.

SUNGGUHPUN terdapat jutaan rakyat di India yang menderita akibat dihimpit kemiskinan teruk, kehebatan negara itu mampu melahirkan ramai jutawan dalam pelbagai bidang menjadi perhatian dunia.
Salah seorang jutawan tersebut adalah pemilik syarikat konglomerat Reliance Industries, Mukesh Ambani, 54, yang menggemparkan dunia apabila membina kediaman setinggi 27 tingkat dan termahal di dunia.
Rumah idaman Ambani setinggi 173.73 meter dan seluas 3,437 meter persegi itu dikenali sebagai Antilia. Menelan belanja kira-kira AS$1 bilion (RM3.2 bilion), ia yang dianggap Taj Mahal kurun ke-21, dilengkapi pelbagai kemudahan ultra mewah seperti spa kesihatan, gimnasium, panggung wayang berkapasiti 50 tempat duduk dan kolam renang.
Lebih menarik, menara yang terletak di Altamount Road, iaitu kawasan kelas atasan selatan Mumbai, dilaporkan mempunyai enam tingkat tempat letak kereta, kolam renang, dewan tarian, tiga tempat pendaratan helikopter, sembilan lif dan empat taman tergantung.
Ambani dikatakan telah menggaji 600 orang kakitangan untuk bekerja di rumah mewah tersebut yang hanya dihuni oleh ahli keluarganya.
Reka bentuk rumah mewah berkenaan adalah ilham sebuah firma terkenal dari Chicago, Amerika Syarikat (AS), Perkins & Will manakala kontraktor pembinaan utamanya adalah syarikat Leighton Holdings yang berpangkalan di Melbourne, Australia. Menara seumpama tindanan bongkah-bongkah berbeza saiz itu mengambil konsep Asia kontemporari.
Tunjuk kekayaan
JURUCAKAP Ambani menyatakan bahawa kekecohan mengenai hal jualan tanah lot Antilia tidak ada kena-mengena dengan syarikat Reliance Industries.


“Ia merupakan sejumlah wang yang amat besar dibelanjakan bagi menunjuk kekayaan,” kata Hamish Mcdonald yang merupakan pengarang Ambani & Sons: A History of the Business.
“Secara tidak langsung, ia meletakkan hartawan perniagaan ini sebagai Maharaja India yang baharu,” petiknya dalam biografi itu.
Sementara itu, Shobhaa De yang merupakan seorang sosialit, penulis pojok dan pengarang memberitahu bahawa di Mumbai, penduduknya boleh menerima apa sahaja malah melakukan sesuatu perkara dalam nisbah yang besar.
“Bagaimanapun, ia merupakan satu kediaman menakjubkan,” akuinya.
Ambani meraih kekayaan melalui syarikat konglomerat Reliance Industries yang terlibat dalam perniagaan minyak, peruncitan dan bioteknologi. Keluarganya sudah lama dikenali ramai malah dianggap keluarga paling bertuah di India.
Sementara itu, Ahli Sosiologi Universiti Jawaharlal Nehru, New Delhi, Dipankar Gupta, berkata, meskipun terdapat banyak jutawan di negara itu, namun mereka tidak mencerminkan kebaikan ekonomi negara tersebut.
KELUARGA mewah Ambani. (Dari kiri) Isha, Anant dan Akash bergambar bersama Mukesh (kanan) dan isterinya, Nita (depan, duduk).


“Tidak semestinya ramai orang melihat mereka sebagai hero rakyat. Begitupun, ada yang beranggapan sedemikian,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ambani sebagai orang paling kaya di India berdepan dengan satu kemungkinan penyiasatan persekutuan terhadap pembinaan rumah agam 27 tingkat miliknya.
Pemerintah negeri Maharashtra sedang mempertimbangkan sama ada penyiasat pusat perlu mengkaji dakwaan bahawa terdapat perkara yang tidak menurut peraturan mengenai jualan tanah.
Antilia yang menjadi salah sebuah daripada kediaman paling mahal di dunia itu dilaporkan media sebagai menara yang terbina dengan menindas keutamaan dan juga hak pihak lain.
Di sebalik kekecohan tersebut, majalah Forbes melaporkan bahawa Pengerusi Reliance Industries itu yang juga orang kesembilan paling kaya di dunia telah berpindah ke menara 174 meter itu tahun lalu.
Tanah rizab
Menteri Hal Ehwal Minoriti dan Wakaf Maharashtra, Mohammed Arif Naseem Khan, memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri bahawa lot tanah seluas empat hektar tersebut pada asalnya merupakan tanah rizab untuk pendidikan kanak-kanak Muslim.
Wakaf dalam hukum syarak merupakan harta atau tanah rizab untuk tujuan kebajikan atau keagamaan.
Lot berkenaan telah dijual kepada Ambani oleh pihak Amanah Rumah Anak-Anak Yatim Currimbhoy Ebrahim Khoja dengan harga AS$4.77 juta (RM14 juta) pada tahun 2002 dengan perjanjian jual belinya diluluskan Pesuruhjaya Amal Mumbai.

DI SEBALIK kisah para jutawan India, negara itu berhadapan dengan krisis inflasi yang tinggi walaupun membawa imej sebagai negara ekonomi berpotensi.


Begitupun, Mohammed Arif mendedahkan bahawa jual beli itu secara asasnya tidak mendapat kebenaran daripada Lembaga Wakaf Negeri Maharashtra yang menyelia penyelenggaraan dan pentadbiran tanah dan harta wakaf.
“Kerajaan negeri boleh melanjutkan perkara ini kepada Biro Penyiasatan Pusat (CBI).
“Kerajaan akan meminta pandangan Jabatan Kehakiman dan Undang-Undang mengenai isu ini. Jabatan undang-undang sebagai balasan telah merujuk isu berkenaan kepada Jabatan Perumahan pada 25 Julai,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan R R Patil memberitahu sebuah akhbar tempatan: “Saya akan bercakap mengenai isu ini selepas meneliti pendapat yang dipanjangkan kepada Jabatan Kehakiman dan Undang-Undang.”
Pertikaian atas jualan tersebut merupakan satu masalah lazim yang merentasi India terutamanya di bandar-bandar besar seperti Mumbai. Di kota padat itu, tapak tanah memang sukar didapati dan menjadi rebutan oleh golongan yang berkemampuan untuk membelinya pada harga tinggi.
Senario itu telah bertiup kencang sejak tahun 2004, apabila Lembaga Wakaf meminta Ambani memberi penjelasan mengenai alasannya tidak mengembalikan lot tanah itu kepada kebajikan.
Ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri, Eknath Khadse, dari Parti Bharatiya Janata (BJP), pula mendakwa lot berkenaan bernilai lima bilion rupee (RM335.6 juta).
Dalam pada itu, jurucakap Reliance Industries memberitahu, perkara berkenaan adalah antara Lembaga Wakaf dan Rumah Anak-Anak Yatim. Kekeliruan itu tidak ada kena-mengena dengan syarikat tersebut. – Agensi


No comments:

Post a Comment