Tuesday 16 August 2011

projek madonna terbengkalai di malawi



FOROYATI yang tidak berpuas hati dengan penerimaan bayaran pampasan tanahnya kini terpaksa menyewa tanah lain untuk bertani.


SEBUAH kawasan terbengkalai di Malawi kelihatan seperti sebuah lombong kuari tinggal. Ia jauh berbeza daripada impian berjuta-juta dolar oleh seorang bintang pop yang mahu melahirkan para gadis untuk menjadi pemimpin dan doktor demi masa depan negara itu.
Namun, teres bertingkat yang suram dan berpasir dekat Lilongwe, ibu negara Malawi itu, adalah satu-satunya bukti jelas yang menunjukkan kegagalan pengurusan. Akademi Madonna bernilai AS$15 juta (RM45 juta) didapati terbengkalai akibat dana yang disalahgunakan. Penduduk tempatan pula amat marah dengan perkara itu.
"Ia telah menjadi sebuah padang bola sepak kini," kata penghulu kampung, Binson Kalenga.
Jentolak tidak lagi berbunyi di tempat yang suatu ketika dahulu, Madonna bersama dua orang kanak-kanak Malawi meletakkan batu asas yang tertera 'berani bermimpi' pada April 2010. Kampung itu hanyalah sebuah lokasi terpencil di negara Afrika yang miskin dan tidak mungkin ia ditemui di atas peta.
Setahun kemudiannya sekolah itu ditutup. Bintang pop berkenaan telah disaman oleh pekerjanya yang dipecat, badan amalnya disiasat di bawah penyiasatan cukai Amerika Syarikat (AS) dan Malawi sendiri menyiasat urusan pembiayaan tanah tersebut.
"Pada mulanya walaupun saya mengalu-alukan projek ini, tetapi secara peribadi saya sangat skeptikal mengenai keseluruhan perkara.
"Terdapat begitu banyak publisiti sebelum kerja-kerja pembinaan bermula," kata Pesuruhjaya Daerah Lilongwe, Paul Kalilombe.
Badan amal Madonna tidak memberi sebarang jawapan. Pada Januari lalu, dia memberitahu, projek akademi berkenaan dihentikan bagi membantu sekolah-sekolah lain yang telah wujud di negara berkenaan.
Tetapi The New York Times melaporkan dalam sebuah audit yang diperiksa oleh Madonna, didapati bahawa dana sejumlah AS$3.8 juta (RM11.4 juta) untuk akademi terbengkalai itu telah disalah guna.
Audit mengejutkan itu tersebut turut menunjukkan kekurangan aspek tanggungjawab yang besar dalam kalangan kumpulan pengurusan di Malawi dan AS.
Madonna pada April lalu mengumumkan mengenai strategi baharu yang akan dimulakan dalam beberapa minggu.
Kehampaan penduduk setempat bermula dengan bayaran yang mereka terima untuk tanah berkenaan. Badan amal Madonna iaitu Raising Malawi telah membayarnya melalui kerajaan.
"Kemungkinan terdapat beberapa 'penghuni hantu' yang disenaraikan di kampung itu. Terdapat beberapa orang, yang disyaki beberapa pegawai kerajaan yang terlibat dalam projek itu, telah dimasukkan dalam senarai tersebut," kata Kalilombe.
Tiada bilik darjah
Perkara itu kini disiasat oleh polis fiskal di Malawi. Di Chinkhota, penjelasan belum lagi diberikan kepada penduduk kampung yang bukan sahaja kecewa kerana tanah mereka dirosakkan malah bilik darjah tidak dibina.
"Penduduk terkejut kerana tiada aktiviti dijalankan di sini dan tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku," kata Tsiyent Foroyati, 52, sambil duduk di pekarangan rumah ladangnya yang kotor.

MADONNA (dua dari kiri) melawat Rumah Anak Yatim Mphandu la di Namitete, barat Lilongwe, Malawi dua tahun lalu.


Foroyati tidak pernah mendengar mengenai Madonna sehinggalah penyanyi pencetus trend muzik itu mengambil dua orang anak angkat dari Malawi.
Sebagai pemilik tanah terbesar sekitar kawasan tapak sekolah itu, dia dibayar 39,000 kwacha (RM776) sebagai ganti rugi tetapi dia mahukan sebanyak tiga juta kwaca (RM59,677).
Keluarga itu kini membayar sebanyak 5,000 kwaca (RM99) untuk menyewa seekar tanah dan bertani.
"Walaupun projek itu diteruskan, kami masih marah kerana di mana kami hendak bertani?
"Dan masalah terbesar ialah walaupun sekiranya kami diberi kembali tanah kami, sukar untuk kami membangunkannya semula," kata Foroyati.
Penyanyi berkenaan telah mengeluarkan jutaan dolar bagi membantu kanak-kanak di Malawi yang 39 peratus daripada populasinya hidup dengan pendapatan kurang AS$1 (RM3) sehari.
Di Namitete, barat Lilongwe, sebuah gambar yang bertarikh memaparkan Madonna bersama bekas suaminya, Guy Ritchie, digantung di sebuah papan notis di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Mphandula yang dibiayai penyanyi itu.
Pusat komuniti berkenaan memberi makan kepada lebih daripada 200 kanak-kanak sehari, dengan kelas menjadi tempat para nenek duduk di bawah teduhan sementara kanak-kanak melompat-lompat sambil mempelajari tarian daripada sukarelawan Jepun.
Hargai Madonna
"Saya sangat menghargai kehadirannya," kata pengurus program pusat berkenaan, Jacinta Champomba, yang tidak pernah mendengar muzik Madonna tetapi memberitahu bahawa mereka berkongsi idea yang sama iaitu tentang kebajikan anak-anak yatim.
"Untuk sekolah berkenaan, Madonna seharusnya bekerja dengan organisasi yang sudah wujud dan tahu perkara sebenar yang berlaku di tanah berkenaan," kata Kaliombe yang percaya sebuah rumah anak-anak yatim akan dibangunkan di tapak akademi tersebut.
Tambahnya, apabila seseorang yang berkedudukan datang ke Malawi, masyarakat hanya memikirkan tentang wang.
"Idea itu bagus. Dia mempunyai niat yang baik, tetapi kini untuk melaksanakannya di atas tanah ini, ia mewujudkan banyak masalah," ujarnya.
Penghulu Kalenga memberitahu, dia mahu bertanya Madonna mengenai kegagalan projek itu.
"Kami berasa sangat gembira kerana dialah yang akan membantu kami. Kami mengalu-alukan kehadirannya sebagai sebahagian penduduk Malawi.
"Namun, kami kecewa kerana khabar angin yang bertiup mengenai projek ini yang telah dihentikan. Kami mahu Madonna datang dan beritahu kami apakah yang berlaku.
"Kami tidak mahu mendengar khabar angin tetapi mahu dia sendiri datang dan menjelaskan kepada kami," tegasnya.

No comments:

Post a Comment