Friday 19 August 2011

senyuman anak yatim





RUANG legar aras bawah gedung beli-belah Suria KLCC pada petang itu padat dengan kehadiran 90 orang anak-anak kurang bernasib baik dari tiga buah rumah perlindungan.
Tujuan kedatangan mereka itu bukan sekadar memenuhi jemputan berbuka puasa. Sebenarnya, ada sesuatu yang lebih menarik untuk mereka bawa pulang.
Walau mungkin kedengaran klise, saban tahun pasti ada artis-artis tempatan turun padang menyertai sesebuah organisasi untuk bersama-sama berkorban masa membeli-belah dengan anak-anak kurang bernasib baik tersebut.
Pengisian program seperti itu tentunya hanya dapat diukur melalui keikhlasan dan keinginan sejati mereka. Kalaupun dapat diukur, momen mereka memimpin tangan anak-anak itu ketika mencuba dan memilih pakaian baharu sudah dapat dinilai dengan mata kasar.
Tiga rumah perlindungan yang mengambil bahagian pada hari itu adalah Rumah Perlindungan Nur Qaseh, Rumah Titian Kasih dan Yayasan Chow Kit.
Mereka dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan kemudian diletakkan di bawah pengawasan individu yang terdiri daripada empat selebriti tempatan serta 40 kakitangan Suria KLCC.
Barisan artis seperti Zizan Nin, Juliana Ibrahim, Tia Ibrahim dan Ixora Chern semestinya menimbulkan keterujaan bagi anak-anak tersebut kerana dapat bergaul mesra dengan figura-figura dunia hiburan dan modeling tersebut.
Dengan wang tajaan perseorangan sebanyak RM150 sumbangan Suria KLCC, setiap daripada mereka menerima pakaian dan kasut yang dibeli bersama di gedung Parkson dan Bata.
Gelagat dan telatah mereka memilih pakaian begitu mencuit hati semua yang ada pada saat itu, Begitu juga perasaan Zizan Nin yang membawa dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lima tahun membeli-belah bersamanya.
“Walaupun penyertaan saya dan rakan artis lain tidak seberapa, tapi ia sedikit sebanyak dapat memberi sinar harapan kepada mereka untuk turut sama gembira menyambut hari lebaran.
“Mereka tidak bernasib baik seperti kanak-kanak lain kerana tiada saudara-mara mahu membawa mereka membeli pakaian baharu. Jadi, ini antara inisiatif untuk kita menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Aktiviti seperti ini wajar diteruskan dan tidak hanya dilakukan pada musim perayaan malah perlu diadakan pada hari-hari biasa,” ujar pelakon berusia 38 tahun itu.
Variasi telatah
Mendukung anak kecil bernama Abu Sufian menerbitkan perasaan luar biasa dalam diri Zizan. Baginya, kanak-kanak lain begitu bertuah kerana tidak perlu mengharungi keperitan hidup seperti anak tersebut.
Walaupun ada di antara mereka menunjukkan sikap agresif dan kenakalan yang luar biasa, ia sebenarnya bukan disengajakan kerana beberapa orang daripada mereka mempunyai masalah disleksia serta hiperaktif.
Pelbagai ragam dapat dilihat. Ada yang akur sahaja dengan pilihan yang diberikan, ada yang hanya mahu pakaian mengikut cita rasa sendiri, dan ada juga yang langsung tidak mahu apa-apa!
Biar apapun karakter yang ditunjukkan anak-anak itu, mereka tidak diherdik atau dimarahi kerana hari itu merupakan hari istimewa buat mereka. Pendek kata, mereka dilayan bak anak raja.
Pilihan mereka juga berbeza-beza. Tidak semua mahukan baju Melayu atau baju kurung kerana ada antara mereka yang menginginkan baju kemeja dan jean.
Bercakap tentang kasut pula, gedung Bata pada petang itu meriah dengan aksi anak-anak berkenaan memilih sepatu yang sepadan dengan saiz mereka.
Dalam kesibukan memilih, mereka juga turut berkejar-kejaran hingga menjadikan suasana tambah meriah dan jauh berbeza daripada keadaan hari-hari biasa.
Tempoh dua jam berlegar-legar sekitar pusat beli-belah itu cukup membuatkan anak-anak itu tersenyum puas dengan barangan yang mereka perolehi.
Perasaan gembira

ZIZAN leka melayan kerenah dua orang kanak-kanak yang di bawah pengawasannya dalam program di Suria KLCC baru-baru ini.


Seorang remaja daripada Rumah Titian Kasih, Mohd. Shafrie Nordin, 17, menyuarakan rasa gembiranya kerana dapat meluangkan masa bersama selebriti tempatan membeli persiapan hari raya.
“Bukan senang dapat jumpa artis. Saya rasa bertuah dan bersyukur sangat kerana diberi peluang sebegini kerana ia setidak-tidaknya menunjukkan bahawa masih ada orang yang prihatin terhadap nasib kami,” tuturnya yang telah dua tahun menjadi penghuni di rumah perlindungan tersebut.
Ketika ditanya tentang saudara-maranya yang lain, Shafrie jujur mengatakan hidupnya kini ibarat sebatang kara. Begitupun, dia mendakwa hidupnya tidak lagi keseorangan dengan kehadiran ahli keluarga baharu di Titian Kasih.
Berbeza pula dengan Faizal Lestari Syapril, 17, dari Yayasan Chow Kit. Nasibnya mungkin kedengaran baik kerana masih memiliki keluarga, akan tetapi dia yang membesar di sekitar kawasan Chow Kit sudah cukup menggambarkan dunia yang dilalui remaja tersebut.
Masih belajar di sebuah sekolah di Titiwangsa, Faizal juga berasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan golongan artis serta kakitangan Suria KLCC yang sanggup turun padang bersama-sama mereka.
“Sokongan mereka terhadap kami semua amat bermakna. Walaupun tidak lama, kenangan ini akan diingati sampai bila-bila,” katanya yang hadir bersama 15 penghuni lain rumah perlindungan tersebut.
Selepas keletihan membeli-belah, anak-anak itu dihiburkan pula dengan nyanyian Dina Nadzir yang bijak berinteraksi dengan penonton-penonton ciliknya itu.
Bukan itu sahaja, mereka turut diberi peluang menyaksikan persembahan tarian-tarian tradisional tempatan seperti Asyik, Ayak-Ayak, Canggung dan Endang.
Acara seterusnya sudah tentu majlis berbuka puasa yang sememangnya dinanti-nantikan. Pihak pengurusan Restoran Imperial Chakri Palace yang terletak di tingkat empat gedung beli -belah itu berbesar hati menyambut mereka dengan juadah iftar lazat.
Dalam masa yang singkat, jalinan kemesraan antara anak-anak itu dengan kesemua artis dan petugas Suria KLCC tersebut mengalir tanpa dipaksa. Ia ibarat ikatan persaudaraan yang tidak memerlukan penjelasan ilmiah.
Momen itu menunjukkan bahawa kasih sayang sesama manusia tidak dibina atas dasar simpati semata-mata.
Kejujuran dan keterbukaan hati juga menjamin perhubungan tersebut untuk bercambah lalu membentuk suasana paling manis untuk dikenang.

No comments:

Post a Comment