Sunday 14 August 2011

wigan mahu uji baddrol



BADDROL tidak keberatan untuk berkelana ke luar negara andai mendapat tawaran daripada Wigan Athletic.



KELAB Liga Perdana England, Wigan Athletic dikhabarkan mahu menawarkan ujian percubaan kepada pemain skuad bola sepak kebangsaan, Baddrol Bakhtiar.
Berita mengejutkan itu telah dipaparkan di sebuah laman web bola sepak United Kingdom, www.eyefootball.com kelmarin dengan tajuk Baddrol Bakhtiar to join Wigan?.
Baddrol yang baru berusia 23 tahun merupakan pemain skuad Liga Super Kedah dan boleh beraksi di posisi sayap mahupun sebagai penyerang.
Berdasarkan laporan berita tersebut, usaha Wigan untuk mendapatkan Baddrol adalah sebagai salah satu langkah kelab itu meluaskan peluang perniagaan barangan cenderamata mereka ke Malaysia.
Namun sejauh mana kebenaran berita tersebut masih belum dapat dipastikan apabila Baddrol sendiri mendakwa dia belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada pihak Wigan.
“Saya tak tahu apa-apa tentang perkara ini. Mungkin khabar angin saja. Saya tak pasti. Saya sendiri pun tak tengok lagi laman web terbabit,” kata Baddrol ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya andai laporan itu benar dan tawaran rasmi daripada Wigan bakal menyusul selepas ini, Baddrol berkata: “Kalau betul memang ada tawaran, insyaallah saya akan pergi dan cuba.”
Baddrol sebelum ini pada 2008 ketika usianya baru mencecah 20 tahun bersama-sama Bunyamin Umar pernah dihantar berlatih selama dua minggu ke sebuah lagi kelab Liga Perdana England, Chelsea.
Wigan di bawah bimbingan pengurus, Roberto Martinez memulakan kempen saingan liga musim ini dengan mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendatang baharu, Norwich City malam kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad turut terkejut dengan berita tersebut, tetapi menganggap ia sesuatu perkembangan yang positif andai benar-benar berlaku.
“Saya pun tak tahu tentang berita ini. Tapi jika benar, pada saya ia satu perkembangan positif dan baik untuk bola sepak negara,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! kerana kini berada di luar negara.

No comments:

Post a Comment