SELEPAS menjalinkan hubungan cinta secara serius selama enam bulan, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 28, akhirnya nekad membuat keputusan bernikah dengan Nazirah Ayub, 23.
Johan Raja Lawak musim ke-3 itu bagaimanapun menolak bahawa perkahwinannya bersama Nazirah untuk menutup segala kisah kontroversi yang melanda dirinya.
“Saya ikhlas memperisterikan Nazirah. Bukan niat untuk tutup segala kontroversi. Sudah lumrah dunia artis berdepan dengan pelbagai gosip dan kontroversi.
“Tidak bermakna seseorang yang sudah berkahwin itu tidak dilanda kontroversi namun selepas menjadi suami saya janji akan setia padanya,” katanya Nabil tersenyum tetapi bernada serius.
Suasana majlis akad nikah yang sedikit serius bertukar menjadi riuh-rendah apabila nama Nabil acap kali dilaung kanak-kanak yang hadir melihat kelibat pelawak, pelakon dan pengacara itu.
Nazirah yang kelihatan anggun mengenakan busana Wazira Zainal sambil diapit oleh rakan baiknya, penyanyi terkenal Jaclyn Victor hanya tersenyum melihat reaksi Nabil membalas laungan kanak-kanak tersebut.
Tepat pukul 5.15 petang, dengan dua kali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM300, Nazirah sah menjadi milik Nabil.
“Alhamdulillah, syukur akhirnya saya berkahwin juga,” ucap Nabil kepada media selepas selesai majlis ijabkabul Nabil dan Nazirah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Ditanya pula perasaan Nazirah terhadap Nabil, kata Nazirah: “Saya sudah fikir masak-masak sebelum berkahwin dengannya. Lagipun saya sudah lama mengenali dirinya.
Nabil yang dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Ustaz Mohd. Redza Ahmad menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan berbalas tujuh dulang hantaran.
Antara barangan hantaran yang diterima Nabil ialah coklat, kasut jenama Tod's, PS3, IPad, al-Quran, cincin, sirih junjung, kek fondant dan buah-buahan.
Pihak Nazirah pula menerima tujuh dulang hantaran iaitu cincin berlian, tepak sirih, kasut jenama Stuart Weitzman , Playbook Blackberry, alat solek jenama Chanel, barangan kecantikan jenama Laura Mercier, telekung dan al-Quran.
Dua hari selepas diijabkabulkan, Nabil dan Nazirah diraikan dalam resepsi bertemakan Wonderland di I-City, Shah Alam, Selangor.
Dilimpahi dengan cahaya lampu I-City, pasangan ini tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan bersyukur untuk melayari kehidupan suka dan duka sebagai suami isteri selepas ini.
Nabil juga merancang untuk membawa isterinya ke Mekah menunaikan umrah nanti sekali gus menyambut bulan madu mereka di sana.
Kenal tapi tak cinta
Menceritakan detik perkenalan Nabil dan Nazirah, mereka mengenali antara satu sama lain sejak enam tahun lalu.
“Saya sudah kenal Nazirah sejak enam tahun lalu. Ketika itu saya masih bekerja sebagai despatch. Dia merupakan adik ipar kepada rakan saya.
“Kerap kali juga kami berjumpa tetapi tidak bercinta. Dia tak suka saya ketika itu. Kami mulai seriuspun enam bulan lalu,” akui Nabil.
Ditanya kepada Nazirah adakah dia menyukai Nabil kerana populariti yang dikecapi lelaki berasal dari Negeri Sembilan itu, jawab Nazirah, dia tidak mengenali Nabil sebelum ini. Katanya, dia ada berjumpa Nabil tetapi jarang berbual-bual dengannya.
“Selama ini saya tidak pernah ambil tahu pasal dia dan tidak tahu mengenai gosip yang melanda dirinya. Selepas mengenali dirinya barulah saya suka dia. Dia seorang yang kelakar dan romantik serta mengambil berat terhadap diri saya,” tutur Nazirah.
Cinta pasangan ini lebih mekar tatkala minat kedua-duanya selari bersama. Nabil yang sememangnya minat menunggang motosikal berkuasa besar memberitahu, Nazirah juga mempunyai minat yang serupa dengannya.
Butik pakaian
Apabila ditanya kepada Nazirah apakah perkara paling kelakar yang pernah dibuat oleh Nabil untuknya, bekas pramugari itu memberitahu: “Nabil membuat aksi wheelie didepan saya.”
Nabil juga mengaku lebih selesa memperisterikan Nazirah yang bukan daripada kalangan artis dan berharap isterinya itu tidak terjebak dengan dunia seni.
Mana-mana institusi perkahwinan pastinya ada geloranya, inikan pula melayari bahtera perkahwinan bersama artis. Memahami keadaan dirinya yang berkahwin dengan orang popular, Nazirah mengaku perlu banyak bersabar dan memahami pekerjaan suaminya itu.
Nabil juga secara berterus-terang memberitahu, Nazirah hanya pandai memasak menu sardin goreng dan ayam masak kicap.
Namun, dia yang sememangnya orangnya tidak kisah apa jua juadah yang bakal dimasak isterinya itu nanti.
“Saya orang yang simple. Apa sahaja dia masak walaupun telur goreng sekalipun saya akan makan,” katanya ketawa.
Beralih pula soal cahaya mata, pasangan ini mengambil keputusan untuk merancang dahulu cahaya mata.
“Buat masa ini, untuk tahun pertama kami ingin hidup berdua dahulu. Insya-Allah untuk tahun kedua nanti baharu kami merancang mendapatkan anak,” kata Nabil sambil dipersetujui oleh Nazirah.
Nabil dan Nazirah juga sepakat untuk memperoleh tiga cahaya mata.
Meneruskan kehidupan bahagia sebagai suami isteri, Nabil akan kembali sibuk dalam dunia seninya manakala Nazirah pula merancang untuk membuka perniagaan butik pakaian wanita satu hari nanti.
No comments:
Post a Comment