Thursday, 13 October 2011

gambar bogel raja pop didedahkan



GAMBAR bogel mayat Michael Jackson didedahkan dalam perbicaraan kes kematiannya di Mahkamah Tinggi Los Angeles kelmarin. - AFP


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Pihak pendakwa raya menunjukkan gambar mayat Raja Pop, Michael Jackson dalam keadaan bogel semasa perbicaraan doktor peribadi Jackson, Conrad Murray, memasuki minggu ketiga kelmarin.
Murray, didakwa kerana menyebabkan kematian Jackson dengan memberi dos berlebihan ubat bius kuat, propofol kepada penyanyi legenda tersebut.
Ketika perbicaraan berlangsung, gambar mayat Raja Pop dengan bahagian kemaluannya dihitamkan ditunjukkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles di sini.
Terdapat beberapa kesan lubang halus di kedua-dua tangan dan kaki iaitu tempat ubat bius propofol dimasukkan ke dalam badannya menerusi tiub perubatan.
Ibu Jackson, Katherine yang turut hadir pada perbicaraan itu, dilihat bergegas keluar dari bilik mahkamah sebaik sahaja gambar mayat anaknya didedahkan, dipercayai kerana tidak sampai hati melihat anaknya dalam keadaan menyedihkan.
Semasa gambar tersebut ditunjukkan, pendakwa raya menyoal koroner, Dr. Christopher Rogers yang memeriksa mayat Raja Pop selepas kematiannya pada Jun 2009 berhubung kemungkinan Jackson sendiri menyuntik dos tambahan propofol ke dalam badannya.
"Pada pendapat saya, penggunaan sendiri ubat propofol tidak menyokong kematian Jackson," kata Rogers.
Menurutnya, kemungkinan yang berlaku adalah Murray terlebih memberikan ubat propofol kepada Jackson untuk membantu dia tidur.
Murray memberitahu polis dalam sesi soal siasat yang diperdengarkan di mahkamah pada minggu lalu bahawa dia beredar dari katil Jackson selama dua minit pada 25 Jun, 2009 untuk ke tandas.
Sekembalinya dari tandas, dia mendapati penyanyi itu sudah tidak bernafas.
Rogers bagaimanapun berkata, dalam jangka masa sesingkat itu, Jackson yang sudah dipengaruhi ubat bius tidak mungkin dapat menyuntik lebih banyak propofol melalui tiub yang dimasukkan di kakinya sehingga menyebabkan pernafasannya terhenti sebelum Murray kembali.
"Senario yang diceritakan Murray kurang munasabah," kata Rogers kepada mahkamah.
Menurutnya, dia sebaliknya percaya doktor peribadi itu tersilap memberikan dos propofol semasa cuba menidurkan Jackson.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Los Angeles di sini dijangka berlangsung selama lima minggu sehingga akhir bulan ini.
Murray boleh dipenjarakan selama empat tahun sekiranya dia didapati bersalah kerana membunuh tanpa sengaja. - AFP

No comments:

Post a Comment